Matius : Kata Pengantar

 Kitab Matius mengisahkan Berita Baik bahawa Yesus ialah Penyelamat yang dijanjikan Allah. Melalui Yesus, Allah menepati apa yang dijanjikan-Nya kepada umat-Nya di dalam Perjanjian Lama. Walaupun Yesus dibesarkan sebagai Yahudi, tetapi Berita Baik ini bukanlah untuk orang Yahudi sahaja, melainkan untuk seluruh dunia.

Kitab Matius disusun dengan teratur. Kitab ini bermula dengan kelahiran Yesus, lalu diikuti oleh baptisan dan godaan yang dialami-Nya, serta apa yang dilakukan-Nya di Galilea. Di sana Dia berkhutbah, mengajar dan menyembuhkan orang. Setelah itu kitab Matius mengisahkan perjalanan Yesus dari Galilea ke Yerusalem, peristiwa-peristiwa terakhir dalam kehidupan Yesus dan mencapai puncaknya dengan kematian dan kebangkitan-Nya.

Kitab Matius memperlihatkan Yesus sebagai Guru yang Agung. Dengan penuh kewibawaan Yesus mentafsirkan Taurat Allah, dan dia juga mengajar tentang pemerintahan Allah. Kebanyakan ajaran Yesus dapat dikelompokkan kepada lima bahagian menurut tajuknya;

1. Khutbah di Bukit yang membabitkan sikap, kewajipan, hak istimewa dan tujuan hidup orang yang menikmati pemerintahan Allah (Fasal 5-7).

2. Petunjuk kepada dua belas orang pengikut Yesus untuk melaksanakan tugas mereka (Fasal 10).

3. Perumpaan tentang pemerintahan Allah (Fasal 13).

4. Makna sebenar menjadi pengikut Yesus (Fasal 18).

5. Ajaran tentang akhir zaman dan kedatangan Anak Manusia (Fasal 24 - 25).

Kandungan

1. Senarai Nenek Moyang Kristus dan Kelahiran-Nya (1:1-2:23)

2. Pelayanan Yohanes Pembaptis (3:1-12)

3. Baptisan dan Cubaan yang dialami oleh Yesus (3:13-4:11)

4. Pelayanan Yesus dalam kalangan orang Galilea (4:12-18:35)

5. Dari Galilea ke Yerusalem (19:1-20:34)

6. Minggu terakhir di Yerusalem dan sekitarnya (21:1-27:66)

7. Kebangkitan Yesus dan Penampakan Diri-Nya (28:1-20).

Sumber Rujukan : Alkitab BM. The Bible Society of Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

SKOP